Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Wednesday, March 9, 2011

BICARA DARI KEM A

Minggu ini aku hadir lagi ke Kem A dengan perasaan yang agak kurang menyenangkan dan mood yang layu. Atas rasa tanggungjawab dan terpaksa menjengah lagi ke sini, memandangkan pengendalian aktiviti kali ini dilingkari dengan sesuatu yang terlalu rigid dan membosankan. Apapun kehadiranku disenangi terutama pemilik dan pekerja kem yang mula menunjukkan minat mengenaliku dengan lebih mendalam. Mengendalikan peserta seramai 62 orang dalam kalangan orang muda berpendidikan tinggi bercampur dengan golongan yang agak berusia dalam sebuah kumpulan bukanlah sesuatu yang baru. Cuma apa yang kurang menyenangkan apabila aku hanya diberi peranan mengendalikan sesi tertentu sahaja, sedangkan aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan dengan lebih sempurna dan menyeronokkan dilaksanakan oleh orang lain yang pada pandanganku kurang menepati intipati objektifnya. Biarpun dalam satu pasukan, ketegaran terlalu bergantung kepada modul yang dibekalkan amat menyiksakan hatiku bila dilaksanakan. Ia bukan kerana rasa cemburu tidak diberikan tugas tersebut tetapi berdasarkan pengalaman lalu, ketika aku bersama-sama teman yang lebih senior terasa lebih menyeronokkan dan sempurna. Mungkin masih cetek pengalaman di samping keterbawaan dengan cara tersendiri menjadikan pengendalian aktiviti kali ini nampak kurang segar dan membosankan. Apapun aku tetap mengikuti setiap sesi dengan cara berdiam diri kecuali sesi di bawah kendalianku, cuba kusampaikan sebaik mungkin agar peserta memperolehi ilmu dan kepuasan sebenar yang mungkin tidak dapat di tempat yang lain.......
Hari pertama, aku cuma mematikan diri dengan memerhatikan teman-teman lain. Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan mengendalikan sesi masing-masing namun akibat masih muda pengalaman, terasa seumpama pengendalian kem motivasi sekolah. Bukan memandang rendah kepada teman-teman namun sesi sedemikian jelas ketara menunjukkan kekurangan pengalaman pengendalinya. Bagaimanakah aktiviti akan mewujudkan kerjasama dan menarik andai tiada suasana taaruf dalam kalangan peserta yang baru pertama kali bersua muka apatah lagi wujud jurang pemisah yang agak ketara dari segi umur dan kelulusan akademik. Bila cuba kucadangkan, sewenang-wenangkan alasan tiada dalam modul digunakan. Tak apalah, sehari berlalu dengan suasana agak tegang dengan ruang sesi dilimpahi dengan kata-kata ugutan yang hanya menimbulkan tekanan buat peserta.......
Hari kedua adalah hari yang amat kunantikan kerana kumpulan kendalianku akan melaksanakan aktiviti air. Sesudah menyelesaikan sesiku di awal pagi, peserta dibawa ke pantai bermain ombak sambil diberi penerangan dan penjelasan mengenai kemahiran mengendalikan kayak dan berenang. Oleh kerana majoriti peserta kali ini adalah perempuan, aktiviti water confident dipenuhi dengan jeritan dan tawa yang menyeronokkan hingga mereka lupa bakal menempuhi satu keadaan yang sukar selepas itu. Ombak laut masih menghempas pantai biarpun kurang besar kerana air semakin surut..... semua peserta mula memikul kayak masing-masing berpasangan menuruni pantai yang landai menuju ke gigi air yang tak pernah layu menghempas daratan. Dengan memasang kemas life jacket berwarna oren, aku mengeluarkan kayak scrambler single seater sambil menggenggam erat pendayung lalu memikulnya ke pantai. Semua peserta sudah bersedia, aku meluncurkan kayak ke air lalu mengayuhnya memecah beberapa ombak sederhana yang cuba mencabar kemahiranku mengatasinya. Peserta-peserta juga demikian dan hampir semuanya berjaya melepasi halangan ombak terus meluncur di permukaan air biarpun terumbang ambing dirempuh ombak. Aku menantikan teman-teman lain yang menggunakan bot berlepas menuju ke tengah laut, kayuhan demi kayuhan menenangkan hatiku bila menempuhi badai yang kian reda. Alunan air serta aromanya membuatkan aku terlalu merindui saat-saat aku berkayak beberapa tahun lalu bersama si dia....menyusuri Pantai Damai hingga ke Tanjung Leman, berdua bersama memerah tenaga sambil berbual mesra. Jalinan kasih sayang dan kemesraan membuatkan suasana laut menjadi tenang dan indah umpama hanya kami berdua berada di dunia ini. Kini saat-saat itu sudah berlalu, hanya badai yang sering melanda...mungkinkah andai kini aku berkayak lagi bersamanya suasana tidak lagi seperti dulu. Ya... manusia berubah mengikut masa dan persekitarannya, adakah aku juga?
Di tengah lautan hampir 3-4km dari pantai, peserta mula berkumpul melakukan aktiviti air dengan melakukan formasi berdiri di dalam kayak yang terapung di tengah laut. Ramai kurang yakin dan mula gelisah namun berkat keyakinan yang diberikan jurulatih air, mereka dapat lakukannya. Sayangnya aku tidak membawa camera mahupun handphone bagi merakamkan saat itu. Seterusnya, aktiviti membalikkan kayak dan menyelamat diajar dan dilakukan oleh semua peserta. Pelbagai ragam peserta dapat dilihat, aku sekadar memerhati dan menilai peserta di bawah jagaanku. 2-3 orang mula mabuk laut dan minta untuk naik ke atas bot namun hanya seorang yang dibenarkan. Semua peserta berjaya melakukan aktiviti menyelamat di air biarpun ramai yang kekeringan darah dan kehabisan tenaga. Aku terus mendayung mengelilingi kudukan peserta dan membantu sekadar perlu........... tiba-tiba awan hitam muncul di kaki laut sebelah timur dan di sebelah tenggara pula kelihatan gumpalan hujan menuju ke arah lautan, ombak mula mengalunkan kayak yang terkapai-kapai dibuai alunan arus yang kian deras. Jurulatih kem di atas bot mula mengarah peserta ke pantai Tanjung Pelandok yang kelihatan dihiasi batu-batu hitam yang menjojol di gigi pantai... aku mendahului peserta lalu mengayuh paddle membelah alunan ombak yang nampak mula nakal melambung dan membuai kayakku. Menghampiri pantai Tanjung Pelandok tanpa sempat memusingkan kayak untuk melihat ombak di belakangku, lalu dengan derasnya hingga hilang kawalan kayakku ditolak dan dihempas ke  pantai membuatkan aku terhumban ke dalam air cetek di pesisiran. Bangun dan terus menyambar kayak lalu kuheret ke daratan, sambil kulihat ramai peserta yang keletihan mula mendarat dan karam di samping melanggar antara satu sama lain. Semuanya selamat sampai ke pantai biarpun karam di gigi air yang menghempas masing-masing rebah........ pastinya satu pengalaman yang sukar dilupakan buat peserta yang pertamakali mengendalikan kayak.
Memasak dan makan tengahari di bawah pohonan kayu tua di pantai Tanjung Pelandok amat menyeronokkan umpama terlepas dari satu siksaan buat peserta kali ini. Rasa gerun muncul semula bila selesai refleksi kumpulan hingga ada peserta bertanya adakah ada jalan balik menggunakan jalan daratan. Aku tersenyum dan menyatakan tiada siapa yang dapat meninggalkan pantai Tanjung Pelandok tanpa menggunakan kayak untuk balik semula ke kem. Kulihat laut mula menunjukkan belangnya, ombak yang menghempas pantai kian meninggi dan alunan air kelihatan memutih berarus deras menghempap batu-batu hitam yang tenggelam timbul. Aku memberikan kata-kata semangat sebelum semua peserta mula mengemas barang dan memikul kayak ke pantai semula. Seperti lazimnya, aku memulakan luncuran ke gigi air lalu mencelapak ke atas kayak yang terumbang-ambing dibuai ombak pantai. Melepasi dua tiga lambungan ombak aku terus meluncur ke tengah dan melihat peserta mula berkayuh mengikutiku. 2-3 buah kayak karam dan cuba lagi memecah kekuatan ombak kian ganas di gigi air. Akhirnya semua peserta berjaya melepasinya dan terus menuju ke tengah laut semula. Aku rasa terbuai-buai dilambung alunan ombak membuatkan ...................
bersambung lagi..................

No comments:

Post a Comment