Sejak minggu lepas masa ku terisi dengan pelbagai aktiviti luar yang amat menyeronokkan. Bermula dalam pertengahan minggu terakhir April, aku berkampung selama 3 hari 2 malam di Kem Alapong lagi. Kali ini mengikuti aktiviti Simulasi Pendidikan Luar yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti lasak...bersama teman-teman sekerja, kami didedahkan dengan aktiviti lasak seperti berkayak, abseiling dan meredah hutan berpandukan kompas. Memang penat dan sangat meletihkan namun ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan bermakna. Bermula pada hari pertama diperkenalkan dengan peralatan dan enjin yang perlu digunakan semasa aktiviti, aku sudah menyedari betapa kami akan menghadapi cabaran besar dari segi mental dan fizikal. Di kelilingi teman rapat dan sekerja, pastinya apa yang bakal kami lalui nanti tentu menyeronokkan pada usia begini. Dua puluh tahun dulu aku pernah merasai betapa perit berkayak lebih empat jam di Sungai Rajang yang luas mudik ke hulu lalu berpatah balik hingga ke pekan Bintangor, terasa lagi seolah-olah bahu ini mahu tercabut dari badan.......inikan pula pada usia begini.
Sesungguhnya pengalaman adalah pelajaran paling berkesan kepada seseorang, biar setinggi mana pun kelulusannya andai tiada pengalaman sebenar yang dilalui sendiri, seseorang itu sebenarnya belum mencapai tahap kemahiran dan keilmuan yang sebenarnya. Pengalaman mengendalikan dinghy berenjin 25 hp, berkayak serta karam di laut, kesukaran mengendalikan kayak di kala laut bergelora, malah dihempas badai besar ketika ingin mendarat di pantai adalah sesuatu yang amat bermakna. Mendaki bukit bertebing pada ketinggian bangunan 3 tingkat dan menuruninya melalui tebing curam berbatu menggunakan tali dan peralatan keselamatan lain memerlukan keyakinan diri yang kuat. Kekuatan fizikal sahaja tak akan dapat menyelamatkan kita pada saat kecemasan ketika berada dalam situasi demikian. Sesungguhnya, kekuatan minda dan ketahanan jiwa di samping kemahiran yang ada mampu menangani apa jua situasi yang dihadapi. Itulah cabaran kehidupan dan pengalaman di Kem Alapong menjadikan aku lebih kuat fizikal dan mental....Terima kasih Madi dan Bahar yang berjaya mengendalikan aktiviti ini dengan jayanya. Andai ada lagi aktiviti begini, jangan lupakan aku ok...
No comments:
Post a Comment