Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Tuesday, April 19, 2011

Sembang PRU DUN Sarawak

Dah lama tak update blog ni, kesibukan yang entah apa-apa....mengganggu jiwa dengan rutin yang agak berbeza. Kesibukan mengikuti kempen PRU DUN Sarawak agak membuatkan aku terleka hingga blogku ini sepi seketika...........tapi cuma satu malam saja aku ikuti kempen bersama teman di seberang Tebingan Sungai Sarawak sambil makan sate. Aneh dan agak luar biasa bila melihat suasana kempen parti yang diadakan bersebelahan........pengunjung dapat mendengar dari kedua-dua belah pihak bila ceramah diadakan dalam jarak cuma lebih kurang 50m antara stage masing-masing. Senator Mat Ezam, Tok Man Bedul dan Tok Dris berceramah di bawah kanopi atas jalan menghadap berpuluh-puluh penyokong dengan pembesar suara yang berskala agak besar. Kandungan ucapan yang penuh sumpah seranah dan lucah mendedahkan segala busung dan nanah yang sememangnya terdedah di media Malaysia yang amat terbuka bila membicarakan kes ketua pembangkang...apatah lagi kisah terkini video hitam putih yang seluruh dunia bisa melihatnya biar cuma seketika. Tiada modal dan isu yang boleh mematangkan minda politik rakyat Sarawak melainkan ucapan penuh sumpahan dan menunjukkan kelemahan diri yang kian nyata serta riak. Aku berfikir, andai inilah cara berpolitik di Malaysia demi menjaga kuasa yang ada.....apakah anak muda kini boleh memikirkan betapa andainya puak-puak yang sedang bercakap ini menjadi menteri atau perdana menteri. Pasti hancur moral rakyat Malaysia di masa akan datang......bertambah sedih bila penyokong-penyokong bermotosikal membawa bendera biru tua tanpa memakai topi keledar berulang alik lalu di laluan yang sesak di hadapan pentas ceramah diketuai oleh seorang tua berumur dengan muka sombong diikuti anak-anak muda yang memang nampak ghairah dan juah. ....
Di pentas sebelah di hadapan rumah penduduk menghadap ke tebingan sungai, Azmin, Wan Zainal dan beberapa orang lagi juga hangat menyampaikan hujah-hujah dan isu-isu setempat dan antarabangsa yang menarik ratusan mungkin pendengar dengan alat pembesar suara yang kurang apatah lagi diselangi suara dari bawah kanopi. Pengakhirnya, muncul ketua pembangkang parlimen yang dengan penuh kewibawaan biarpun dipaluti dengan beribu tohmah dan fitnah nampak tenang menyampaikan ceramah yang berinformasi tentang kedudukan rakyat Sarawak di masa hadapan. Gaya dan bahasa penyampaian yang menarik amat mengkagumkan pendengar yang kian ramai hingga bersesak di atas jalan hingga ke tebingan. Nampak amat bergaya sebagai pejuang rakyat....walau diduga dengan pelbagai ujian, ketahanan diri amat terserlah pada usia melewati 60 tahun. Amat hebat berbanding orang lain, tak dapat kubayangkan betapa seorang tua yang demikian bisa berbicara sejak petang tadi di beberapa tempat yang letaknya dalam lingkungan 100km boleh berbicara segagah itu...... Dan hanya rakyat Sarawak termasuk aku yang bisa menentukan masa depan untuk 5 tahun ini siapakah yang baka ditabal sebagai pemimpin Sarawak.
Seminggu yang penuh dengan kekalutan politik yang menyerlahkan ketaksuban dan kehangatan perang poster serta kempen yang tiada kesudahan. Media elektronik dan sebagainya mendendangkan irama-irama ganas dan slow, mencurah segala yang terkandung dan terkendong, keji mengeji, meluah yang terpendam malah mendedah yang tersimpan rapi.......lalu kadang-kadang aku berasa malu menjadi rakyat Malaysia bila suasana begini muncul,,,,
16 April, aku pergi menunaikan tanggungjawabku memangkah pilihan hati 30 minit sebelum berakhirnya masa mengundi. Tiada sesiapa pengundi selain aku menaiki perahu menyusuri sungai yang mendedahkan puluhan rumah kayu usang lambang kedhaifan nelayan setempat yang dihiasi bendera warna warni. Sampai di pengkalan, aku berjalan di atas jalan simen melewati padang menuju ke bangunan sekolah yang nampak sepi. Hanya beberapa orang petugas parti mungkin, menyapaku di pertengahan jalan....masuk ke dalam bagunan sekolah lalu menunaikan tanggungjawabku. Pilihanku pastinya........undi adalah rahsia. Perjalanan balik aku menyusuri laluan simen kampung dari hulu hingga ke hilir, banyak rumah yang kulewati nampak usang dan dhaif luarnya tetapi hiasan dalaman nampak macam hebat ditambah pula dengan pemilikan stesyen tv berbayar. Hebat juga kampung ni yang kukunjung setahun beberapa kali sejak beberapa tahun dulu..... malamnya aku terpaku seketika di hadapan tv melihat perkembangan terkini keputusan semasa.....ubahkah atau berubah minda rakyat ...... jawapannya hanya orang-orang Cina berani menyatakan ketidakpuasan hati mereka melalui undi namun di kawasan Melayu dan Bumiputera lain, nampaknya masih seperti dulu. Memang sudah kujangka...........Tahniah kepada yang berjaya, yang tewas tunggulah lima tahun lagi....

Kini semua kesibukan itu berakhir, hidup diteruskan seperti biasa....rakyat tetap macam tu, pemimpin kian gah bertahta melaung kemenangan dari suara hati rakyat...mereka masih pilihan hati. Terbukti melalui undi yang diterima masing-masing gah denga kelebihan majoriti. Syukurlah tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku, begitulah harmonisnya kehidupan rakyat Sarawak.

1 comment:

  1. AsSalam saudara Hafizurrahman yg diqasehi..

    Masih tertunggu2 kembara ibadah tuan yang belum berpenghujung... rasa rindu tanah suci menggamit kalbu.

    ReplyDelete