Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Monday, May 23, 2011

Jalan-jalan di Sibu

Balik dari perkhemahan di Lundu barulah aku berpeluang seketika masuk ke lubuk (ofis le....) 3-4 hari menyelesaikan beberapa tugas yang belum sempurna di samping menghadiri beberapa mesyuarat yang entah apa-apa keputusannya. Jumaat, 13 Mei aku diminta ke Sibu menguruskan taklimat modul kepada budak-budak kat sana. Pagi Khamis jam 1100 selepas sarapan, aku terus memandu ke Sibu bersama teman baikku. Singgah makan tenghari di pekan Serian, lalu meneruskan perjalanan yang masih jauh. Perjalanan ke Sibu penuh nostalgik, pernah beberapa tahun dulu ( dalam 2006-2007) Sibu adalah antara destinasi yang sering kulewati. Kenangan memandu bersama teman dan insan tersayang menggamit memori indah ketika mendaki jalan berbukit di Bukit Bangunan menuruni ke Selepong naik turun jalan cerun berselekoh hingga ke persimpangan Sri Aman. Menyusuri jalan yang kurang selesa menuju ke Betong dalam cuaca panas lalu singgah di hentian rehat Betong untuk solat Asar. Di sini banyak tercatat kenangan ketika berhenti rehat kerana jarang sekali pemandu jarak jauh akan masuk ke bandar Betong yang terletak hampir 10km dari simpang jalan utama.
Surau, stesyen minyak Petronas dan medan selera yang di kelilingi kawasan berbukit agak mendamaikan dan segala kenangan terindah membuatkan perjalananku terasa amat selesa dan penuh kerinduan. Memandu lewat petang melintasi simpang Saratok, menuruni Bukit Sebangkoi yang kini makin landai  hingga ke persimpangann Sarikei lalu membelok ke kanan menuju ke Bintangor. Kehijauan pohonan sejauh mata memandang amat mendamaikan, cuaca cerah sementara jalan yang tidak rata beralun mengujakan diri ini yang sudah lama tidak menjejak kaki ke Sibu. Tiba di Jambatan Lanang yang bertol RM3.00 sekali menyeberang mengingatkan aku suatu ketika dulu bersama-sama teman menunggu feri hampir berjam-jam lamanya untuk menyeberangi Sungai Rajang ini hinggakan pernah kami berbincang, apakah pihak tertentu tidak memikirkan untuk membina jambatan bagi memudahkan perjalanan ke bandar Sibu.....kini hampir 5 tahun sudah usia Jambatan Lanang yang indah namun kene bayar tol la.....ada alternatif lain ke Bandar Sibu menggunakan Jambatan Durin namun perjalanannya lebih jauh lebih kurang 50km daripada jalan menggunakan Jambatan Lanang.
Hampir jam 6.00 petang tiba di bandar Sibu, terus ke hotel yang berhampiran sungai. Kalau dulu bersama teman sering singgah di Primier Hotel atau hotel bajet yang berhampiran dengannya.  Bandar Sibu, bandar penuh kenangan manis yang mengujakan setiap pengunjungnya, terletak di lembah Rajang pesat membangun dengan pelbagai kemudahan. Menjadi nadi penghubung ke pekan kecil di pedalaman Sarawak menggunakan bot ekspres dan bas terutama ke Mukah, Daro mahupun Dalat dan jalan air ke Kanowit, Kapit, Belaga mahupun ke Bakun. Seketika dulu (tahun 1990) pernah kususuri Sungai Rajang ini dengan menggunakan kayak bersama-sama teman ketika Kursus Latihan Membina Semangat, dan pada tahun 2006 rasanya aku menggunakan bot ekspres menuju ke Belaga yang mengambil masa hampir 8 jam perjalanan meredah sungai yang berbatu dan jeram. Masih kuingat lagi jam 5.45pagi bot ekspres sudah mula bergerak dari Terminal Ekspres Sibu menyusuri sungai sambil singgah di beberapa pekan kecil Kanowit, Kapit, Pelagus hingga sampai ke Belaga jam 230 petang. Masih ku simpan catatan perjalananku ke sana, mungkin suatu masa nanti akan kumasukkan dalam blog ini sebagai entri catatan perjalananku, insyaAllah.
Suasana senja di lembah Rajang

Mentari mula menyembunyikan diri dalam samar Lembah Rajang

Bandar Sibu ketika senja dari tingkat 7 hotel

Senja nan merah di Sibu

Dinihari di lembah Rajang

Terminal Ekspres mula sibuk di awal pagi

Bot ekspres penghubung pekan di pedalaman

Sungai Rajang yang sentiasa tenang

Berderetan bot-bot ekspres menantikan penumpang

No comments:

Post a Comment