Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Thursday, August 25, 2011

Wasiat Nabi Adam AS





Assalamualaikum...........


Nabi Adam as mewasiatkan kepada anaknya Syits dan diperintahkan agar wasiat itu disampaikan kepada anak-anaknya sesudah itu......

Ada lima hal:

Pertama:
Katakan kepada putera-puteramu , janganlah mudah terpaut kepada dunia. Sesungguhnya aku di syurga terpaut dengan yang tidak seberapa, kemudian Allah mengeluarkanku dannya.

Kedua:
Katakan kepada mereka, jangan kalian menuruti kehendak isterimu, sesungguhnya aku telah menuruti kehendak isteriku dan aku makan syajarah, namun akhirnya aku menemui penyesalan.

Ketiga:
Katakan kepada mereka, jika hendak buat sesuatu fikirkanlah akibatnya. Kalaulah aku fikirkan akibatnya dulu, tentulah aku tidak menerima nasib ini.

Keempat:
Jika hatimu terpaut oleh sesuatu, tinggalkan saja ia. Sesungguhnya ketika aku makan syajarah, hatiku amat terpaut padanya, namun aku tidak kembali sehingga akan ditimpa penyesalan.

Kelima:
Bermesyuaratlah dalam segala urusanmu. Jika aku bermesyuarat dengan paraa malaikat, tentulah nasib seperti ini tidak akan menimpaku.

(petikan daripada buku Mukasyafah Al Qulb- Imam Al Ghazali)

Soga-moga kita dapat mengambil peringatan dan ikhtibar dari wasiat yang ditinggalkan oleh Nabi Adam as. Sesungguhnya pengalaman lampauku banyak membuktikan apa yang diwasiatkan ini adalah suatu hakikat kebenaran yang tak kan dapat dinafikan. Kita mudah terpaut pada sesuatu yang indah dari pandangan mata, namun hakikatnya yang indah itulah sering membuatkan kita lalai dan leka lalu kita akan menyesalinya kemudian hari ........


Wednesday, August 24, 2011

PESANANKU....JANGAN SESEKALI


Jangan sesekali kamu bersikap kejam memberikan harapan pada seseorang itu lalu dia jatuh cinta sedangkan diri kamu tidak mencintainya.
 
Jangan sesekali kamu hadir dalam hidup seseorang kalau ia hanya kamu rasakan akan menghancurkan perasaanya.
Jangan sesekali kamu menatap tepat di matanya jika semua yang kamu lakukan hanya kepalsuan belaka.
Jangan sesekali kamu mengambil berat ke atas dirinya terlalu berlebihan hanya kerana sekadar simpati kelak bimbang dirinya menaruh hati padamu.
Jangan sesekali diri kamu mengatakan "aku cinta padamu" sedangkan di dalam hatimu hanya nafsu yang bertakhta.


 Jangan sesekali kamu tertarik pada seseorang kerana paras rupanya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan kita.

Jangan sesekali kamu tertarik pada kekayaannya, kerana segala kekayaan akan lenyap dan musnah.
Tertariklah pada seseorang yang beriman dan beramal soleh dan ia dapat membuatmu tersenyum. Hanya senyuman ikhlas hadir dari orang beriman yang dapat memberi hari-harimu yang gelap menjadi cerah.
Hati orang yang SOLEH itu MUDAH dan SENANG untuk menerima CAHAYA dari Ilahi, kerana mereka sentiasa TAKUT akan azab Allah dan CINTA kepada Allah..
Namun..
Hati Orang yang BERDOSA itu SUSAH dan PAYAH untuk menerima CAHAYA dari Ilahi, kerana mereka sentiasa GEMBIRA dengan nikmat dunia dan LUPA pada-NYA..
- Artikel iluvislam.com
[TEPUK DADA TANYALAH IMAN by syima]

‘Ibu usah begitu’

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Jangan hantar anak ke neraka dan maafkan semua perbuatan anak sebelum terlambat,” nasihat pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah mengulas isu perselisihan faham antara anak dan ibu yang berlaku di Sungai Abong, Muar, baru-baru ini.
Katanya, ibu jangan kecil hati dan perlu memaafkan anak kerana syurga anak lelaki terletak di bawah tapak kaki ibu.

“Ibu jangan sesekali mendoakan yang tidak baik untuk anak kerana ia menentukan kehidupan anak di dunia dan akhirat. “Jangan biarkan anak derhaka dan menjadi ahli neraka.

“Maafkan anak jika perbuatannya menyinggung perasaan dan tarik balik setiap doa yang tidak baik pernah diucapkan,” katanya.

Dia berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa hubungan antara mereka dan anak tidak pernah putus, walaupun mereka telah berpisah.

Justeru itu, pasangan yang sudah bercerai jangan saling memburukkan, sebaliknya bercerita mengenai kebaikan pasangan masing-masing.


“Jika pasangan terus bercerita buruk, anak akan hidup dalam keadaan tidak normal dan tertekan,” katanya.

Muka depan Harian Metro kelmarin melaporkan, pengakuan anak yang disisihkan ibunya kerana masih berhubung dengan ayah kandung (bekas suami) yang sudah lama bercerai.

Difahamkan, ibunya tersinggung dengan perbuatan anak dan merasakan pengorbanannya tidak dihargai.

Fadzillah berkata, perbuatan anak lelaki yang mencari bapa kandungnya itu adalah baik dan sememangnya tugas anak menjaga kedua-dua ibu bapa.

“Ibu perlu bangga kerana mendapat anak yang soleh, ingat kepada ibu bapa dan tanggungjawabnya.

“Saya menasihatkan ibu tersebut supaya memaafkan anak lelakinya dan bekas suami serta berbaik semula.

“Maafkan orang lain, supaya orang dapat memaafkan kita dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, hubungan anak dan ayah tidak dapat dipisahkan sampai bila-bila.

Pada masa yang sama, hubungan dengan ibu perlu dipelihara supaya kekal menjadi anak yang soleh dan disenangi ibu bapa.

“Dalam kes ini, anak seharusnya bertindak sebagai orang tengah mendamaikan ibu bapa yang sudah berpisah dan hidup bermusuhan.

“Anak perlu menggunakan akal untuk mengeratkan kembali hubungan ibu bapa, tanpa mengguris perasaan mana-mana pihak. Gunakan bahasa dan perbuatan yang baik untuk menjaga perasaan kedua-duanya,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu ingat bahawa perpisahan mereka sudah ditakdirkan, tetapi jangan babitkan anak-anak dalam permusuhan mereka

Sunday, August 21, 2011

Syair Hamba Dunia

Demi umurku,
pemuja dunia akan menyesal akhirnya,
bila dunia pergi, dia berasa rugi,
bila dunia datang, keinginannya terus memuncak,


Demi Allah,
bila dunia datang kepadaku,
dan melimpahkan rezekinya,
tentulah orang merdeka tetap menghinanya,
mengapa tidak, cemburu hasadnya manusia,


Herdiklah dunia ini dan hari-harinya,
ia hanya membawa duka,
kehausannya tak pernah terpenuhi,
terus saja ingin memiliki,
sungguh menghairankan, ia musuh tapi dirindukan,


Tanyakan pada hari-hari,
apa yang engkau perbuat di singgahsana,
adakah engkau bahagiakan mereka,
atau sekadar kejahatan cuma,

Wahai orang-orang yang tertipu dunia,
siang kau tidur dan malas,
malampun kau tidur dan hina,
kau tertipu oleh sesuatu yang fana,
kau bahagia dalam khayalan sahaja,
persis orang tidur, tertipu dengan kelazatan,
akhirnya kesibukanmu hanyalah kebosanan,
demikianlah hidup haiwan-haiwan.....



APA GUNA ......

Apa guna jadi lelaki KACAK,
kalau baca Quran pun merangkak-rangkak .
Apa guna jadi perempuan CANTIK,
kalau Pukul 12.00 T.Hari pun tak celik-celik .



Apa guna umur BESAR PANJANG,
kalau Fardhu Ain Asas pun lintang pukang .
Apa guna Allah bagi HIDAYAH,
kalau nak SOLAT pun sikit punya PAYAH .


Apa guna jadi MANUSIA,
kalau umur Allah bagi kita SIA-SIA .
Apa guna HARTA MELIMPAH,
kalau nak hulur kepada yg memerlukan pun SUSAH .
Apa guna pangkat BESAR,
kubur dah dekat pun masih tak SEDAR








------petikan daripada kata-kata teman di FB...

AL FATIHAH BUAT CIKGU AZIZI

Novelis Azizi Abdullah Selamat Dikebumikan
KULIM: Jenazah novelis Azizi Abdullah yang meninggal dunia pada Ahad akibat komplikasi buah pinggang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur di sini selepas solat Zohor.

Jenazah Allahyarham yang siap dimandi dan dikapan tiba dari Hospital Pulau Pinang ke rumahya di Taman Bersatu di sini kira-kira 11.30 pagi dan disambut oleh beratus-ratus orang jiran dan sahabat handai serta rakan-rakan penulis dari Kedah dan Pulau Pinang.

Antara yang menziarahi jenazahnya ialah Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad bersama keluarganya.

Allahyarham meninggal kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

Azizi, 69, dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang sejak 26 Mac lalu untuk menjalani pembedahan jantung.

Beliau turut menjalani rawatan buah pinggang di hospital yang sama dan berada di hospital selama enam bulan sebelum meninggal dunia.

Isterinya Zubaidah Yusuff, 64, berkata ketika melawat Allahyarham di hospital semalam, Azizi berada dalam keadaan sihat walaupun lebih suka berehat dan tidur.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda.

Beliau merupakan seorang pesara guru dan kemudiannya turut menjadi Ketua Editor Utusan Pengguna di Pulau Pinang.

Beliau meninggalkan dua orang anak perempuan iaitu Anita, 40 dan Azimah, 21.

Shahnon menyifatkan beliau telah kehilangan seorang sahabat karib yang banyak jasanya dalam dunia kesusasteraan negara di samping seorang penulis yang prolifik dan disegani di kalangan rakan-rakan.

Azizi juga pernah memenangi Anugerah SEA Write 1988. - BERNAMA

Tuesday, August 16, 2011

TAQWA PUASA

Taqwa sebagai matlamat puasa

Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat - namun masih ramai yang tidak memahami akan maksud dan falsafahnya.

Buktinya, tindak-tanduk umat Islam kadang-kala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?

Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu; Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).

Imam Syafie pula berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ketakwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja' (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).

Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai 'menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.' Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.

Begitulah pandangan-pandangan ulama yang sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kefahaman kita terhadap maksud taqwa. Jika taqwa difahami, maka kita pastinya faham arah tuju puasa yang kita laksanakan.

Jika puasa dan ibadah Ramadan yang kita laksanakan tidak berjaya membawa ciri-ciri taqwa ke dalam diri, maka pasti ada suatu yang tidak kena atau kecacatan dengan puasa yang kita laksanakan.

Pokok pangkalnya, setiap tingkahlaku yang dilakukan di atas mukabumi ini perlu berlandaskan 'ilmu'. Jika seorang penjenayah pun menggunakan ilmu dan berstrategi dalam melakukan jenayah mereka, apatah lagi apabila kita ingin melakukan ibadah kepada Allah, pasti ia perlu bersandarkan ilmu dan kefahaman yang jelas, bukan kerana ikut-ikutan.

Orang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.