Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Showing posts with label Bicara Minda. Show all posts
Showing posts with label Bicara Minda. Show all posts

Sunday, September 25, 2011

INSAF DALAM MENILAI SETIAP INSAN: DR MAZA

Insaf Dalam Menilai Setiap Insan
Disiarkan pada Sep 16, 2011 dalam kategori Dakwah
INSAF DALAM MENILAI SETIAP INSAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Dalam kehidupan ini kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Setiap individu membawa pelbagai perwatakan. Kadang-kadang kita keliru dalam membuat penilaian. Keliru dalam menentu watak baik dan buruk. Ini disebabkan pada diri seseorang itu boleh terkumpul kedua unsur tersebut; unsur baik dan unsur buruk.



Jika kita melihat kepada seseorang insan pada unsur baik semata, tentu kita akan menilainya sebagai insan yang baik. Jika kita pula melihat di sudut yang buruk semata, maka pasti kita akan menilai sebagai insan yang buruk. Namun, jika kita melihat kedua unsur itu secara seimbang dan adil, pasti kita akan dapat membuat kesimpulan yang betul.




Insan apabila berbalah, atau bertelingkah mereka sering menonjolkan unsur buruk mengenai musuh mereka. Enggan mereka menyebut kebaikan yang ada, sekalipun itu terang dan jelas. Kita boleh lihat akhlak orang-orang politik hari ini apabila mereka bertelingkah. Enggan mengiktiraf sumbangan pihak lain hanya kerana perbezaan politik yang ada.

Demikian juga dalam kehidupan, ramai yang enggan mengiktiraf kebaikan pihak yang dibenci sekalipun nyata kebaikannya. Ini adalah sifat yang tidak munsif atau kita sebut tidak insaf. Perkataan insaf di sini bukan seperti yang kita faham iaitu menyesal. Sebaliknya bermaksud sesuatu yang berada di tengah; tidak melampau dan tidak terkurang. Inilah arahan Allah kepada kita.

Dalam urusan jual beli, kita diharamkan mengurangkan hak orang lain, apatah lagi dalam urusan nilai dan harga diri orang lain yang lebih bermakna dari timbangan makanan dan barang, lebih utamalah untuk kita memastikan hak orang lain tidak dikurangkan. Firman Allah: (maksudnya):

“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85).

Timbangan Amalan



Allah Tuhan Yang Maha Adil tidak menetap bahawa hanya orang tidak berdosa sahaja yang masuk syurga. Tidak juga menyatakan bahawa setiap yang ada dosa akan memasuki neraka. Sebaliknya al-Quran menyatakan bahawa seseorang ditimbang amalan baik dan buruknya. Maka, sesiapa yang amalan baiknya melebihi amalan buruknya, maka dia berjaya. Begitulah sebaliknya; sesiapa yang amalan buruknya melebihi amalan baiknya, maka tempatnya neraka. Firman Allah (maksudnya):

“adapun orang yang berat timbangannya (amalan baik), maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sesiapa yang ringan timbangannya (amalan baik), maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalan engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11).

Setelah Allah menetapkan demikian, bagaimana mungkinkah kita ingin memutus hanya insan yang tidak berdosa sahaja yang layak untuk diiktiraf sebagai insan yang baik?! Sebaliknya, insan yang baik itu ialah seseorang yang amalan baiknya melebihi amalan buruknya.

Semua Berdosa

Sabda Nabi s.a.w:

“Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani).

Justeru, setiap kita tidak sunyi dari kesalahan. Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang boleh mendakwa bahawa dirinya suci dari dosa dan noda. Cuma beza antara orang baik dan yang buruk, seorang baik itu memohon keampunan dari Allah dan berusaha membaiki diri. Sementara orang yang buruk keras kepala dengan dosanya, tidak kesal dan tidak memohon keampunan.

Menyedari hakikat ini, maka jangan kita hina manusia disebabkan sesuatu dosa, tetapi lihat bagaimana sikap dirinya terhadap dosa tersebut. Allah tidak pernah menjadikan orang yang berdosa kecewa, sebaliknya sentiasa membuka pintu untuk mereka kembali kepadaNya. Firman Allah: (maksudnya):

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53).

Jahat Tak Menafikan Baik

Dalam diri insani boleh terkumpul dua unsur yang berlainan pada satu masa yang sama; kebaikan juga kejahatan. Apabila kita berbicara soal kejahatannya, janganlah sampai kita lupa unsur kebaikan yang ada sehingga kita memadamkan baiknya dan menghukumnya melebihi kadar yang patut. Hal ini pernah Rasulullah s.a.w bantah terhadap perkataan sesetengah sahabat yang melaknat seorang peminum arak dalam kalangan mereka. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Walaupun dia minum arak, itu satu dosa yang besar, namun dalam masa yang sama Rasulullah s.a.w tidak menafikan unsur cintakan Allah dan Rasul yang wujud dalam diri. Bahkan Nabi s.a.w mempertahankan kelebihannya itu. Kita lebih wajar demikian. Jangan kerana melihat sesuatu dosa, sekalipun besar, kita menafikan unsur kebaikan lain yang ada pada diri seseorang.

Diri Sendiri



Jika setiap kita merenung kepada dirinya sendiri secara insaf, dia akan tahu dia juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin; niat dan jiwa yang buruk seperti hasad, buruk sangka, takabur, riyak dan lain-lain. Jika tidak dosa pada perbuatan, dosa pada perkataan seperti mengumpat, memfitnah, menuduh, menjadi ‘batu-api’ dan pelbagai lagi.

Dosa-dosa batin dan perkataan ini kadang kala jauh lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa peribadi seperti minum arak dan zina. Namun kita sering memandang ringan sedang ia besar. Firman Allah (maksudnya):

“ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).

Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu.

Namun kita, lantaran merasakan diri suci, kita menghukum dan menilai dosa peribadi orang lain berlebihan sehingga seakan kita sunyi dari kesalahan. Dengan satu dosa sahaja, kita dedah dan hina seseorang dengan apa yang Allah sendiri tidak hina sedemikian rupa. Nabi s.a.w memberikan amaran:

“..jangan kamu mencari-cari keaiban orang muslim kerana sesiapa yang mencari keaiban orang muslim Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkan sekalipun dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud/ disahihkan al-Albani)

Seimbang

Islam menyuruh kita adil dalam semua perkara termasuk dalam membuat penilaian terhadap seseorang. Adil terhadap setiap pihak walaupun pihak kita benci dan bermusuhan. Allah menyebut (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Surah al-Maidah: 8).

Al-Imam Muhibb al-Din al-Khatib menyebut:

“Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu.

Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut.

Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu”. (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m/s 47. Beirut: Dar al-Jail).

Thursday, August 25, 2011

Wasiat Nabi Adam AS





Assalamualaikum...........


Nabi Adam as mewasiatkan kepada anaknya Syits dan diperintahkan agar wasiat itu disampaikan kepada anak-anaknya sesudah itu......

Ada lima hal:

Pertama:
Katakan kepada putera-puteramu , janganlah mudah terpaut kepada dunia. Sesungguhnya aku di syurga terpaut dengan yang tidak seberapa, kemudian Allah mengeluarkanku dannya.

Kedua:
Katakan kepada mereka, jangan kalian menuruti kehendak isterimu, sesungguhnya aku telah menuruti kehendak isteriku dan aku makan syajarah, namun akhirnya aku menemui penyesalan.

Ketiga:
Katakan kepada mereka, jika hendak buat sesuatu fikirkanlah akibatnya. Kalaulah aku fikirkan akibatnya dulu, tentulah aku tidak menerima nasib ini.

Keempat:
Jika hatimu terpaut oleh sesuatu, tinggalkan saja ia. Sesungguhnya ketika aku makan syajarah, hatiku amat terpaut padanya, namun aku tidak kembali sehingga akan ditimpa penyesalan.

Kelima:
Bermesyuaratlah dalam segala urusanmu. Jika aku bermesyuarat dengan paraa malaikat, tentulah nasib seperti ini tidak akan menimpaku.

(petikan daripada buku Mukasyafah Al Qulb- Imam Al Ghazali)

Soga-moga kita dapat mengambil peringatan dan ikhtibar dari wasiat yang ditinggalkan oleh Nabi Adam as. Sesungguhnya pengalaman lampauku banyak membuktikan apa yang diwasiatkan ini adalah suatu hakikat kebenaran yang tak kan dapat dinafikan. Kita mudah terpaut pada sesuatu yang indah dari pandangan mata, namun hakikatnya yang indah itulah sering membuatkan kita lalai dan leka lalu kita akan menyesalinya kemudian hari ........


Sunday, February 27, 2011

Dr Maza: Pluralisme agama antara politik, fanatik dan realistik


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin   
Isu pluralisme digembar-gemburkan oleh sesetengah media dalam negara ini. Apakah tujuan sebenar, saya kurang pasti. Namun, apa pun dalam dunia terbuka hari ini, isu-isu pemikiran memang tidak dapat dielakkan. Cumanya, dalam membahas isu sebegini, ada yang ikhlas, ada yang berpolitik dan ada yang mengambil kesempatan tertentu.

Jika kita lihat isu ‘Valentine’s Day’, ramai yang membantah atas alasan ia tiada dalam Islam. Menariknya,‘hari ibu’, ‘hari bapa’, ‘hari buruh’, hari pesakit aids dan seumpamanya juga tiada dalam ajaran Islam tapi tidak dibantah. Jika ada yang menyatakan ‘Valentine’s Day’ memberikan kesan negatif kepada masyarakat, sambutan tahun baru dan kemerdekaan pun apa kurang.

Betapa ramai yang mengambil kesempatan pada malam-malam tersebut untuk bermaksiat. Namun, tidak kuat sangat bantahan terhadapnya. Ya, kita bersetuju dengan bantahan sambutan Valentine’s Day untuk orang Islam, namun kita mesti memberikan justifikasi yang jelas. Apabila ada agenda yang tidak jelas, masyarakat akan kehairanan terhadap banyak asas tindakan yang dikaitkan dengan Islam ini.

Saya melihat ada seorang dua yang menulis tentang pluralisme di media tertentu dan seminar mereka ini diwar-warkan oleh media tertentu. MB Kelantan turut dikaitkan dengan pluralisme. Menariknya, ada yang lantang tentang pluralisme ini dalam masa yang sama menganut dan mengiktiraf ‘wahdatul wujud’ ala Ibn ‘Arabi iaitu kesatuan antara Tuhan dan makhluk dalam makam kerohanian. ‘Wahdatul wajud’ ini kepercayaan yang dikongsi oleh banyak agama dalam pelbagai tafsiran. Tidaklah pula mereka menganggap diri mereka telah jatuh ke lembah pluralisme agama. Maka, sekali lagi pelbagai persoalan timbul tentang isu pluralismeyang dibangkitkan oleh kelompok tarekat ini.

Lebih daripada itu, mereka tidaklah lantang ketika tokoh-tokoh politik yang ‘membela’ mereka melakukan upacara ritual agama lain dalam perayaan tertentu. Sebaliknya mereka yang memuja dan memuji tokoh-tokoh politik dengan pelbagai nas agama.

Pluralisme dan Relativisme

Adakah ‘pluralisme agama’ ini kufur atau tidak? Sebenarnya, ini tidak dapat dijawab melainkan kita terlebih dahulu jelas apakah yang seseorang itu faham dari pluralisme agama atau ‘religious pluralism’ tersebut. Jika dia memahami pluralisme itu menganggap semua agama itu sama nilaian di sisi Tuhan, kebenaran itu dikongsi secara bersama atau kebenaran itu relative maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada kekufuran. Ini bererti kefahaman pluralisme ini menyamai kefahaman relativisme.

Namun, jika dia menganggap bahawa pluralisme bererti mengiktiraf kepelbagaian agama, cuba memahami lebih mendalam antara satu sama lain dan bersikap bertolak ansur tanpa menggadaikan prinsip-prinsip akidah Islam terutamanya hanya Islam sebagai agama Allah, maka itu tidak membawa kepada kekufuran. Di sini bererti, kefahaman pluralisme ini tidak sama dengan relativisme yang menganggap kebenaran adalah sesuatu yang relatif.
Maka, isu pluralisme ini bergantung kepada tafsiran pihak yang berbicara. Setiap pihak mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang hal ini. Diana L. Eck (Harvard University) menyatakan pluralisme tidak sama dengan relativismePluralisme tidak menuntut seseorang meninggalkan identiti dan tanggungjawab. Juga tidak semesti bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pihak yang lain. Namun bersetuju untuk berbincang, memberi dan mendengar pandangan pihak lain.
Katanya:
“pluralism is not relativism, but the encounter of commitments. The new paradigm of pluralism does not require us to leave our identities and our commitments behind, for pluralism is the encounter of commitments. It means holding our deepest differences, even our religious differences, not in isolation, but in relationship to one another..pluralism is based on dialogue. The language of pluralism is that of dialogue and encounter, give and take, criticism and self-criticism. Dialogue means both speaking and listening, and that process reveals both common understandings and real differences. Dialogue does not mean everyone at the “table” will agree with one another. Pluralism involves the commitment to being at the table with one’s commitments” (http://pluralism.org/pages/pluralism/what_is_pluralism)
Apa yang penting bukan istilah-istilah ini tetapi kepercayaan atau akidah seseorang muslim berkaitan hal ini. Jika dia percaya semua agama adalah berkongsi kebenaran yang sama, atau kebenaran itu sesuatu yang subjektif, boleh dilihat pada dimensi yang berbeza, maka itu pluralisme yang kufur. Jika dia menganggap hanya Islam agama wahyu yang diiktiraf di sisi Allah, namun kepelbagaian agama adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, manusia mesti belajar memahami antara satu sama lain, berbincang dengan cara yang baik, sudi untuk berdialog dan menyemakkan sikap dan tindakan, maka ini tidak kufur. Bahkan itulah yang dilaksanakan oleh sarjana Islam yang terbilang.
Prinsip Islam
Isu ini hendaklah ditangani dengan asas ilmu, bukan dengan fanatik, atau kepentingan politik. Realiti atau hakikat Islam dan kehidupan masyarakat manusia itu hendaklah difahami. Di sini saya sebutkan beberapa asas penting untuk kita fahami;
i. Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh para nabi sebelum baginda. Firman Allah (maksudnya):
“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).
Maka, muslim tidak percaya semua agama sama di sisi Allah di sudut kebenaran dan wahyu. Ini soal akidah. Namun bukanlah bererti Islam membezakan manusia di sudut keadilan dan hak kemanusiaan.
ii. Pun begitu, Islam mengiktiraf kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Maka Islam menegaskan: (maksudnya)
“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).
Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas:
“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Demikianlah ajaran Islam. Jika ibubapa pun tidak boleh memaksa agama anak sendiri, inikan pula orang lain.

iii. Islam tidak memusuhi pengikut agama lain hanya kerana perbezaan agama. Bahkan muslim disuruh berbuat baik kepada mereka yang tidak menzahirkan permusuhan kepada Islam. Firman Allah (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).
iv. Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada agama lain dan pengikutnya seperti mengiktiraf halalnya sembelihan Yahudi dan Kristian dan keizinan berkahwin dengan wanita mereka. Ini disebut dalam Surah al-Maidah ayat 5. Demikian Islam mengiktiraf kebaikan yang ada pada golongan paderi Kristian. Firman Allah:
“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82)
v. Islam melarang penganutnya menzalimi penganut agama lain. Perbezaan tidak boleh membawa kepada penindasan dan kezaliman. Firman Allah (maksudnya) :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
vi. Islam menggalakkan dialog dalam suasana yang harmoni dan baik. Firman Allah (maksudnya).
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125)
Maka isu pluralisme hendaklah ditangani dengan ilmu, bukan fanatik atau kepentingan politik, tetapi hendaklah realitik dengan asas Islam dan kehidupan manusia.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31058:dr-maza-pluralisme-agama-antara-politik-fanatik-dan-realistik&catid=95:agama2&Itemid=132

Sunday, February 20, 2011

KaSih SaYanG VS BenCi!

Kasih dan sayang (mawaddah wal rahmah) adalah milik Allah yang menurunkannya dalam hati setiap makhluknya. Menyayangi dan mengasihi seseorang dalam hidup kita menjadi satu fitrah kepada kita sebagai insan. Namun lawan bagi sifat ini pastinya sifat benci. Sifat yang juga ada dalam diri kita. Lalu kita diberi pilihan untuk memilih salah satu sifat ini, mana yang sesuai dan untuk siapa? Apakah factor yang menyebabkan kita berperasaan kasih sayang atau benci? Persoalan ini sebenarnya bergantung kepada keadaan dan diri seseorang serta persekitarannya. Normalnya kasih sayang sentiasa ada pada seorang ibu kepada anaknya, begitu juga sebaliknya. Sayang seorang kepada seseorang yang lain ada sebab dan puncanya. Seperti seorang lelaki yang menyayangi seseorang wanita adalah fitrah mungkin kerana daya tarikan wanita berkenaan tak kira apapun pastinya ada sesuatu yang membuatkan si lelaki tertarik pada wanita tersebut. Maka mudahnya kita faham bahawa kasih sayang akan timbul dalam diri seseorang apabila seseorang itu mula mengenali dan mendampingi seseorang hingga berasakan ada sesuatu yang menimbulkan perasan tersebut. Dan perasaan ini biasanya akan lebih subur dan kuat apabila mendapat sokongan sama ada perasaan mahupun perbuatan yang positif daripada orang yang dikasihinya. Dorongan orang yang dikasihi ataupun balasan perasaan yang sama membuatkan kasih sayang kian kukuh lalu muncullah rasa cinta. Cinta akan wujud bila ada kasih dan sayang yang kuat dalam diri seseorang dan pasangannya. Cinta perlukan baja seperti juga pohon bunga rose yang nampak segar dan cantik apabila selalu disirami dan dibajai malah akan lebih nampak menarik andai ia selalu dibelai. Bicara lisan dan amal perbuatan tingkahlaku apabila bersama pasangan akan mempengaruhi tahap kasih sayang. Adakah sifat ini ada tahapnya dan apa ukurannya?
Menyayangi seseorang membuatkan kita selalu berasa sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan orang yang kita sayang. Namun kerana lawan sifat kasih sayang itu adalah benci, maka perasaan ini juga sentiasa membayangi jiwa. Andai ada sesuatu yang kita lakukan menyebabkan hati orang yang kita sayang sakit atau tersinggung apatah lagi terluka, ia menyebabkan tahap kasih sayang akan mula menurun dan rasa benci akan bertunas di hati. Sedaya mungkin, kita akan mengelaknya namun dalam alam yang serba pancaroba kita kadang-kadang tidak berkemampuan memelihara kata-kata, tingkah laku mahupun tindakan yang menggores hati pasangan kita.
Banyak faktor sebenarnya yang mempengaruhi tahap naik turun sifat ini, kadang kala muncul antara kasih sayang dan benci ini sifat cemburu atas dasar tahap kepercayaan pasangan kita luntur. Peratus kasih sayang telah berpecah akibat bertunasnya sifat benci dan cemburu. Rasa terabai dan kejauhan juga mampu mengurangkan peratus kasih sayang seseorang, apatah lagi jika ada di kalangan persekitaran yang dirasakan lebih dekat dan baik. Ketiadaan akan menyebabkan kita mengadakannya dalam apa juga situasi bila keperluan diri dan hati terasa kosong dan sepi. Tidak semua di kalangan kita mampu menangani ketiadaan dengan bijak kerana di hati dan jiwa sentiasa akan ada keinginannya. Atas dasar ini ditambah dengan persekitaran social yang memaksa membuatkan kita sendiri mengikis rasa kasih sayang yang pernah kita ciptakan kepada seseorang.
Seperkara yang perlu diberi perhatian juga adalah kepercayaan dan keyakinan terhadap pasangan. Tahap kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap pasangannya  akan mempengaruhi peratus kasih sayang. Kesetiaan pasangan akan membuktikan betapa kasih dan sayangnya dia, lalu diterjemah melalui  lisan, penghormatan diri, kawalan tingkahlaku dan tindakan terhadap pasangan dan persekitaran. Biasanya pasangan hanya melihat sesuatu yang bersifat luaran atau zahir, memang sukar memahami sesuatu yang wujud di dalam diri. Membohongi orang lain dengan tingkahlaku palsu bagi menyesuaikan diri dengan keadaan akan menyebabkan tekanan diri sendiri kerana kita tidak mampu menipu diri. Walaupun hanya kita yang tahu (Allah juga tahu) namun sedikit-sebanyak rasa bersalah akan muncul dari dalam diri.
Tanya diri kita sendiri di mana kita meletakkan sifat kasih sayang kita terhadap seseorang lalu cuba anggarkan berapa peratuskah kasih sayang kita kepadanya. Nilai ukuran ini memang agak subjektif bagi setiap orang kerana ia kadang-kadang bertambah dan berkurang mengikut suasana semasa… apakah yang kita lakukan bagi meningkatkan nilai kasih kita kepadanya dan apakah kita hanya berserah dan pasrah kerana kita tidak mampu menilai kasih sayang seseorang kepada kita…??????