Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Friday, June 10, 2011

Syiah: Isu Kesesatan Umat Islam Sejagat ?

Antara kitab utama Syiah
Berikutan isu penangkapan kira-kira 200 penganut syiah di gombak baru-baru ini, seorang penulis bernama Abu Bakar Abdullah (syiah?) yang mendakwa sebagai pengikut setia mazhab Shafi’e telah melahirkan rasa bingung dan tidak puas hati serta mendakwa JAKIM dan ulama’sunnah khususnya di Malaysia keliru dalam memfatwakan ajaran syiah Imamiyyah sebagai ajaran sesat [Link].

Syiah Imamiyyah sebenarnya juga dikenali sebagai mazhab ahli bayt /Syiah Imam Dua Belas -Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah /Syiah Ja’fariyyah /Syiah al-Rafidhah melalui kaedah-kaedah keagamaan yang dianuti dan kelompok ini cukup dikenali oleh ulama Islam sejak zaman tabi’en. Syiah ini memiliki empat sumber utama di mana, menurut mereka, darjat muktabar dan kesahihannya tidak akan mampu dicapai oleh mana-mana sumber Ahli Sunnah. Empat sumber utama tersebut ialah Usul al-Kafi, al-Istibsar, Man La Yahduruh al-Faqih dan Tahzib al-Ahkam.

Berdasarkan sumber-sumber ini, jelaslah Syiah ini bukan kelompok Zaydiyyah atau Mufaddhilah yang masih diterima ulama Islam dalam persoalan hukum fiqh kerana mereka bersikap tidak mengkafirkan tiga khalifah pertama Islam sebelum Ali bin Abi Talib r.a dan sebahagian besar sahabat nabi termasuk isteri baginda s.a.w.

Status Syiah Imamiyyah ini telah jelas di kalangan generasi ulama terawal termasuk empat imam mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Ahmad) yang menolak dan menyesatkan ajaran ini . bahkan majoriti ulama’ terdahulu di kalangan mereka telah menggolongkan kelompok ini sebagai pendusta , zindiq bahkan diragui keislamannya kerana beberapa ciri-ciri kesesatan aqidah mereka seperti mencaci, mencela dan mengkafirkan sejumlah besar sahabat nabi termasuk isteri-isteri nabi, menganggap Al-Quran telah diselewengkan (tahrif) dan diubah-ubah oleh para sahabat nabi. Imam Abu Hanifah berkata, “terimalah hadis dari semua golongan pelaku bid’ah yang sederhana dalam fahamannya kecuali Syiah kerana prinsip aqidah mereka ialah mempercayai sesatnya para sahabat Muhammad s.a.w.” (Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi ma’rifati ilmi al-riwayah, hlmn. 146 ) Sementara Imam Syafie berkata, “tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu, yang lebih pembohong dari golongan Rafidhah” (Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil. 1, hlm. 327) Imam Malik ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata, “jangan kamu bercakap dengan mereka , jangan kamu meriwayatkan hadis dari mereka kerana mereka selalu berdusta” (Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunah al-Nabawiyyah, jil.1 hlm. 16) Sementara Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.. “apabila kamu melihat seseorang selalu memburuk-burukkan sahabat maka raguilah keislamannya dan keimanannya”. Oleh sebab ruangan ini terhad, kita tidak mampu menyenaraikan fatwa-fatwa ulama’ Sunnah sejak awal islam sehingga hari ini termasuk Sayyid Abu Hasan Ali al-Nadwi, Said Hawa’, Nasiruddin al-Abani dan ulama’ulama hadis benua India mengenai Syiah imamiyyah kerana perbezaan dari segi usul aqidah dan syariat.

Dalam tulisannya, Abu Bakar Abdullah mendakwa menerusi pembacaannya di internet, tokoh-tokoh seperti Dr Yussof Qardhawi, al Marhum Syeikh Tantawi bekas Rektor Universiti al Azhar, Mufti Mesir, Mufti Syria, Mufti Lubnan, Mufti Pakistan, Mufti Turki dan ramai lagi ulama-ulama Ahlussunah yang telah mengeluarkan Fatwa bahawa Syiah Imamiah adalah Islam sebagaimana mazhab-mazhab lain di dalam Mazhab Ahlussunah, tidak sesat kafir. Kenyataan beliau jelas sekali keliru dan palsu, kerana sekalipun Yusuf Qaradawi turut sama dalam Amman Message bertaqrib dengan Syiah, beliau tidak pernah lupa mengingatkan kepada umat Islam tentang kesesatan syiah yang memiliki aqidah tarif al-Quran dan mencaci maki para sahabat nabi, malah beliau meletakkan syarat dua ciri aqidah Syiah ini dihapuskan sebagai syarat berjayanya projek tersebut. Tidak memadai di situ, Syeikh Qaradhawi melarang usaha penyebaran Syiah di negara-negara Sunni kerana menurutnya akan mencetuskan pertumpahan darah (rujuk Siaran al-Jazeerah, 31 Ogos 2006). Manakala Syeikh Tantawi pula sebelum kematiannya turut menyatakan golongan yang mencaci maki para sahabat dan isteri nabi bukanlah dari kalangan umat Islam. Beliau meninggal sebelum usul beliau terhadap pendirian syiah direkomendasikan kepada lembaga penyelidikan al-Azhar (eramuslim.com, 28 Ferbruari 2010). Sebelumnya Syeikh Tantawi turut mengecam usaha penyebaran Syiah yang dilakukan oleh sayap Hizbullah di Mesir yang sedang pesat berkembang (mufakkirah al-Islam : 19 April 2009). Barisan Mufti Pakistan sejak berzaman telah memfatwakan Syiah sesat malah terkeluar dari Islam. Malah ulama’-ulama’ hadis sunah di benua India (khususnya ulama’ Pakistan) paling kuat membongkar kesesatan aqidah Syiah menerusi karya-karya mereka yang tidak terhitung jumlahnya (sumber : Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama & Kebingungan Ummah oleh Maulana Asri Yusuf). Malah di kalangan mereka ada yang dibunuh oleh orang-orang Syiah seperti Prof. Ihsan Ilahi Zahir.

Kita janganlah lupa kepada karya Sayid Abu Hasan Ali al-Nadwi bernama Shuurtaan Mutadhadataan (Syiah vs Sunah : dua wajah sentiasa berlawanan) dan karya Syeikh Said Hawa’ yang bertajuk Khumayniyyah : Syudzuuz fi al-Aqa’id wa al-Mawaqif (Khomeini : Keganjilan Aqidah dan Pendirian) yang secara terang-terangan membongkar kesesatan aqidah Syiah Imamiyyah yang perlu diawasi oleh umat Islam.

Syeikh Mahmud Syaltut
Syiah sering kali menyandarkan kepada sokongan ucapan dan dokumen Syeikh Mahmud Syaltut bagi membuktikan ajaran mereka diterima sebagai mazhab Islam, namun mereka tidak pernah mendedahkan fatwa Mahmud Syaltut menyatakan perkahwinan mut’ah yang diamalkan syiah bukannya datang dari syariat Allah dan Mahmud Syaltut tidak menerima konsep Imam Mahdi seperti ajaran Syiah. Mereka menyangka ulama’-ulama sunah tidak pernah menyedari kesesatan Syiah Imamiyyah dan berdiam diri padanya. Usaha taqrib, iaitu mendekatkan antara Sunah dan Syiah yang dipelopori ulama’ al-Azhar mendapat sambutan pada peringkat awal bagi mengelakkan pertumpahan darah dan mendakwahkan Syiah kepada aqidah yang benar menerusi dialog. Namun pencetus kepada usaha ini, Syeikh Muhammad Abduh sendiri tidak sempat melihat hasil projek ini. Muridnya yang sangat terkenal bernama Rasyid Ridha yang turut terlibat dalam usaha ini telah berjaya mengesan hipokrit ulama-ulama Syiah dalam taqrib ini. Langkah ini turut diikuti oleh ulama lain seperti Mustafa Siba’ie yang menyedari helah Syiah yang hanya bertaqrib dimeja rundingan, bahkan telah membuka ruang yang besar agama syiah disebarkan di negara Sunnah.





Buku Dialog Syiah - Sunni versi Indon



Sebagai balasan kepada usaha ulama’ al-Azhar, seorang ulama’ Syiah bernama Abdul Husein Syarafudin al-Musawi mengambil kesempatan memperbodohkan dan mempersendakan Syeikh Salim al-Bisyri dalam dialog palsu (ditulis selepas 20 tahun selepas kematian Salim Bisyri) yang ditulisnya bertajuk al-Muraja’at (Dialog Syiah-Sunni). Dari sini kita membuat kesimpulan usaha taqrib ini yang dilanjutkan kepada Amman Message ini tidak pernah membantu apa-apa jua keadaan Ahli Sunnah di Iran sendiri, Iraq dan Afghanistan yang diperangkap dalam pertembungan Sunni-Syiah yang penuh berdarah dalam percaturan kepentingan politik antara Amerika dan Iran sejak era dunia moden.



Di sana terdapat pelbagai kepentingan dan opsyen politik antarabangsa bagi menangani isu ini. Syiah tidak seperti pertubuhan Arqam yang bersifat domestik yang mudah ditangani kerana tidak membabitkan hubungan negara antarabangsa dan semestinya membabitkan hubungan dengan negara-negara serantau dan kehendak penjajah rantau berkenaan. Sekalipun Syiah dibenarkan menunaikan haji ke Mekah (hanya kerajaan Saudi sahaja boleh menjelaskan sebab dan puncanya) dan Saudi terlibat dalam pertubuhan OIC dan Amman Message, Deklarasi Syiah-Sunah di Jeddah dan sebagainya, negara itu tidak pernah berhenti menyekat dan berdepan dengan tentangan keras dari komuniti Syiah di timur negara berkenaan. Morocco bertindak lebih berani memutuskan hubungan dengan Iran kerana usaha penyebaran Syiah yang semakin kritikal di negara itu. Yaman dan Saudi berusaha menyekat gerakan Syiah Haouthi di Sa’dah yang merebak ke wilayah Saudi. Kuwait melucutkan kerakyatan seorang ulama Syiah yang dianggap membahayakan umat Islam. Jika tindakan terhadap komuniti Syiah di Malaysia boleh dianggap “double standard”, bagaimana pula dengan tindakan negara-negara rantau Arab berkenaan? Apakah mereka menerima Amman Message, pertemuan di Jeddah atau bagaimana? Dan apakah tindakan kejam sejak dinasti Safawiyyah ke atas etnik Sunnah yang asalnya 60% dari penduduk Iran ketika itu sehingga hari ini di Baluchistan, Ahwaz, Zahedan dan lain-lain bukan double standard? Kerjasama tentera Syiah nuri al-Maliki bersama dengan penjajah Amerika membunuh penduduk Sunnah di Iraq tidakkah satu double standard? Jika JAKIM keliru apakah PAS juga keliru memecat keahlian beberapa individu yang terlibat dengan Syiah pada 1990-an?

Kembalilah kepada isu pokok, Syiah (Imamiyyah) difatwakan sesat kerana ciri-ciri aqidahnya yang kufur dan bertentangan dengan Islam yang telah lama diputuskan oleh ulama-ulama terbilang kita. JAKIM serta JAIS memiliki alasan yang kukuh bertindak ke atas mereka atas maslahat aqidah ummah. Isu agama seharusnya menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri dan JAKIM. Bukan orang awam yang jahil dan sering terkeliru dan yang sudah dibius oleh Syiah menjadi keliru.. Wallahu a’lam.

Dipetik dari:
pesilat_timur
Prebet
Prebet


No comments:

Post a Comment