Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah Hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Al Maidah:100)

Saturday, June 18, 2011

Bezanya Tuduhan Zina dan Rogol?- Dr Asri

Kartunis Utusan, Rogol Dan Zina

KARTUNIS UTUSAN, ROGOL DAN ZINAProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

kartun.jpg

Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam. Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah. Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

Rogol
Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi. Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?
Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:
“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata: ”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar. Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).
Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.
Lian
Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.
Justeru Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).
Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.
Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah

Friday, June 10, 2011

Syiah: Isu Kesesatan Umat Islam Sejagat ?

Antara kitab utama Syiah
Berikutan isu penangkapan kira-kira 200 penganut syiah di gombak baru-baru ini, seorang penulis bernama Abu Bakar Abdullah (syiah?) yang mendakwa sebagai pengikut setia mazhab Shafi’e telah melahirkan rasa bingung dan tidak puas hati serta mendakwa JAKIM dan ulama’sunnah khususnya di Malaysia keliru dalam memfatwakan ajaran syiah Imamiyyah sebagai ajaran sesat [Link].

Syiah Imamiyyah sebenarnya juga dikenali sebagai mazhab ahli bayt /Syiah Imam Dua Belas -Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah /Syiah Ja’fariyyah /Syiah al-Rafidhah melalui kaedah-kaedah keagamaan yang dianuti dan kelompok ini cukup dikenali oleh ulama Islam sejak zaman tabi’en. Syiah ini memiliki empat sumber utama di mana, menurut mereka, darjat muktabar dan kesahihannya tidak akan mampu dicapai oleh mana-mana sumber Ahli Sunnah. Empat sumber utama tersebut ialah Usul al-Kafi, al-Istibsar, Man La Yahduruh al-Faqih dan Tahzib al-Ahkam.

Berdasarkan sumber-sumber ini, jelaslah Syiah ini bukan kelompok Zaydiyyah atau Mufaddhilah yang masih diterima ulama Islam dalam persoalan hukum fiqh kerana mereka bersikap tidak mengkafirkan tiga khalifah pertama Islam sebelum Ali bin Abi Talib r.a dan sebahagian besar sahabat nabi termasuk isteri baginda s.a.w.

Status Syiah Imamiyyah ini telah jelas di kalangan generasi ulama terawal termasuk empat imam mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Ahmad) yang menolak dan menyesatkan ajaran ini . bahkan majoriti ulama’ terdahulu di kalangan mereka telah menggolongkan kelompok ini sebagai pendusta , zindiq bahkan diragui keislamannya kerana beberapa ciri-ciri kesesatan aqidah mereka seperti mencaci, mencela dan mengkafirkan sejumlah besar sahabat nabi termasuk isteri-isteri nabi, menganggap Al-Quran telah diselewengkan (tahrif) dan diubah-ubah oleh para sahabat nabi. Imam Abu Hanifah berkata, “terimalah hadis dari semua golongan pelaku bid’ah yang sederhana dalam fahamannya kecuali Syiah kerana prinsip aqidah mereka ialah mempercayai sesatnya para sahabat Muhammad s.a.w.” (Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi ma’rifati ilmi al-riwayah, hlmn. 146 ) Sementara Imam Syafie berkata, “tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu, yang lebih pembohong dari golongan Rafidhah” (Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil. 1, hlm. 327) Imam Malik ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata, “jangan kamu bercakap dengan mereka , jangan kamu meriwayatkan hadis dari mereka kerana mereka selalu berdusta” (Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunah al-Nabawiyyah, jil.1 hlm. 16) Sementara Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.. “apabila kamu melihat seseorang selalu memburuk-burukkan sahabat maka raguilah keislamannya dan keimanannya”. Oleh sebab ruangan ini terhad, kita tidak mampu menyenaraikan fatwa-fatwa ulama’ Sunnah sejak awal islam sehingga hari ini termasuk Sayyid Abu Hasan Ali al-Nadwi, Said Hawa’, Nasiruddin al-Abani dan ulama’ulama hadis benua India mengenai Syiah imamiyyah kerana perbezaan dari segi usul aqidah dan syariat.

Dalam tulisannya, Abu Bakar Abdullah mendakwa menerusi pembacaannya di internet, tokoh-tokoh seperti Dr Yussof Qardhawi, al Marhum Syeikh Tantawi bekas Rektor Universiti al Azhar, Mufti Mesir, Mufti Syria, Mufti Lubnan, Mufti Pakistan, Mufti Turki dan ramai lagi ulama-ulama Ahlussunah yang telah mengeluarkan Fatwa bahawa Syiah Imamiah adalah Islam sebagaimana mazhab-mazhab lain di dalam Mazhab Ahlussunah, tidak sesat kafir. Kenyataan beliau jelas sekali keliru dan palsu, kerana sekalipun Yusuf Qaradawi turut sama dalam Amman Message bertaqrib dengan Syiah, beliau tidak pernah lupa mengingatkan kepada umat Islam tentang kesesatan syiah yang memiliki aqidah tarif al-Quran dan mencaci maki para sahabat nabi, malah beliau meletakkan syarat dua ciri aqidah Syiah ini dihapuskan sebagai syarat berjayanya projek tersebut. Tidak memadai di situ, Syeikh Qaradhawi melarang usaha penyebaran Syiah di negara-negara Sunni kerana menurutnya akan mencetuskan pertumpahan darah (rujuk Siaran al-Jazeerah, 31 Ogos 2006). Manakala Syeikh Tantawi pula sebelum kematiannya turut menyatakan golongan yang mencaci maki para sahabat dan isteri nabi bukanlah dari kalangan umat Islam. Beliau meninggal sebelum usul beliau terhadap pendirian syiah direkomendasikan kepada lembaga penyelidikan al-Azhar (eramuslim.com, 28 Ferbruari 2010). Sebelumnya Syeikh Tantawi turut mengecam usaha penyebaran Syiah yang dilakukan oleh sayap Hizbullah di Mesir yang sedang pesat berkembang (mufakkirah al-Islam : 19 April 2009). Barisan Mufti Pakistan sejak berzaman telah memfatwakan Syiah sesat malah terkeluar dari Islam. Malah ulama’-ulama’ hadis sunah di benua India (khususnya ulama’ Pakistan) paling kuat membongkar kesesatan aqidah Syiah menerusi karya-karya mereka yang tidak terhitung jumlahnya (sumber : Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama & Kebingungan Ummah oleh Maulana Asri Yusuf). Malah di kalangan mereka ada yang dibunuh oleh orang-orang Syiah seperti Prof. Ihsan Ilahi Zahir.

Kita janganlah lupa kepada karya Sayid Abu Hasan Ali al-Nadwi bernama Shuurtaan Mutadhadataan (Syiah vs Sunah : dua wajah sentiasa berlawanan) dan karya Syeikh Said Hawa’ yang bertajuk Khumayniyyah : Syudzuuz fi al-Aqa’id wa al-Mawaqif (Khomeini : Keganjilan Aqidah dan Pendirian) yang secara terang-terangan membongkar kesesatan aqidah Syiah Imamiyyah yang perlu diawasi oleh umat Islam.

Syeikh Mahmud Syaltut
Syiah sering kali menyandarkan kepada sokongan ucapan dan dokumen Syeikh Mahmud Syaltut bagi membuktikan ajaran mereka diterima sebagai mazhab Islam, namun mereka tidak pernah mendedahkan fatwa Mahmud Syaltut menyatakan perkahwinan mut’ah yang diamalkan syiah bukannya datang dari syariat Allah dan Mahmud Syaltut tidak menerima konsep Imam Mahdi seperti ajaran Syiah. Mereka menyangka ulama’-ulama sunah tidak pernah menyedari kesesatan Syiah Imamiyyah dan berdiam diri padanya. Usaha taqrib, iaitu mendekatkan antara Sunah dan Syiah yang dipelopori ulama’ al-Azhar mendapat sambutan pada peringkat awal bagi mengelakkan pertumpahan darah dan mendakwahkan Syiah kepada aqidah yang benar menerusi dialog. Namun pencetus kepada usaha ini, Syeikh Muhammad Abduh sendiri tidak sempat melihat hasil projek ini. Muridnya yang sangat terkenal bernama Rasyid Ridha yang turut terlibat dalam usaha ini telah berjaya mengesan hipokrit ulama-ulama Syiah dalam taqrib ini. Langkah ini turut diikuti oleh ulama lain seperti Mustafa Siba’ie yang menyedari helah Syiah yang hanya bertaqrib dimeja rundingan, bahkan telah membuka ruang yang besar agama syiah disebarkan di negara Sunnah.





Buku Dialog Syiah - Sunni versi Indon



Sebagai balasan kepada usaha ulama’ al-Azhar, seorang ulama’ Syiah bernama Abdul Husein Syarafudin al-Musawi mengambil kesempatan memperbodohkan dan mempersendakan Syeikh Salim al-Bisyri dalam dialog palsu (ditulis selepas 20 tahun selepas kematian Salim Bisyri) yang ditulisnya bertajuk al-Muraja’at (Dialog Syiah-Sunni). Dari sini kita membuat kesimpulan usaha taqrib ini yang dilanjutkan kepada Amman Message ini tidak pernah membantu apa-apa jua keadaan Ahli Sunnah di Iran sendiri, Iraq dan Afghanistan yang diperangkap dalam pertembungan Sunni-Syiah yang penuh berdarah dalam percaturan kepentingan politik antara Amerika dan Iran sejak era dunia moden.



Di sana terdapat pelbagai kepentingan dan opsyen politik antarabangsa bagi menangani isu ini. Syiah tidak seperti pertubuhan Arqam yang bersifat domestik yang mudah ditangani kerana tidak membabitkan hubungan negara antarabangsa dan semestinya membabitkan hubungan dengan negara-negara serantau dan kehendak penjajah rantau berkenaan. Sekalipun Syiah dibenarkan menunaikan haji ke Mekah (hanya kerajaan Saudi sahaja boleh menjelaskan sebab dan puncanya) dan Saudi terlibat dalam pertubuhan OIC dan Amman Message, Deklarasi Syiah-Sunah di Jeddah dan sebagainya, negara itu tidak pernah berhenti menyekat dan berdepan dengan tentangan keras dari komuniti Syiah di timur negara berkenaan. Morocco bertindak lebih berani memutuskan hubungan dengan Iran kerana usaha penyebaran Syiah yang semakin kritikal di negara itu. Yaman dan Saudi berusaha menyekat gerakan Syiah Haouthi di Sa’dah yang merebak ke wilayah Saudi. Kuwait melucutkan kerakyatan seorang ulama Syiah yang dianggap membahayakan umat Islam. Jika tindakan terhadap komuniti Syiah di Malaysia boleh dianggap “double standard”, bagaimana pula dengan tindakan negara-negara rantau Arab berkenaan? Apakah mereka menerima Amman Message, pertemuan di Jeddah atau bagaimana? Dan apakah tindakan kejam sejak dinasti Safawiyyah ke atas etnik Sunnah yang asalnya 60% dari penduduk Iran ketika itu sehingga hari ini di Baluchistan, Ahwaz, Zahedan dan lain-lain bukan double standard? Kerjasama tentera Syiah nuri al-Maliki bersama dengan penjajah Amerika membunuh penduduk Sunnah di Iraq tidakkah satu double standard? Jika JAKIM keliru apakah PAS juga keliru memecat keahlian beberapa individu yang terlibat dengan Syiah pada 1990-an?

Kembalilah kepada isu pokok, Syiah (Imamiyyah) difatwakan sesat kerana ciri-ciri aqidahnya yang kufur dan bertentangan dengan Islam yang telah lama diputuskan oleh ulama-ulama terbilang kita. JAKIM serta JAIS memiliki alasan yang kukuh bertindak ke atas mereka atas maslahat aqidah ummah. Isu agama seharusnya menjadi tanggungjawab jabatan agama negeri dan JAKIM. Bukan orang awam yang jahil dan sering terkeliru dan yang sudah dibius oleh Syiah menjadi keliru.. Wallahu a’lam.

Dipetik dari:
pesilat_timur
Prebet
Prebet